Solat ialah amalan pertama dihitung apabila kita dihisab oleh Allah SWT, sekali gus kewajipan kepada setiap Muslim yang difardukan pada tahun kelima sebelum hijrah.
Pentingnya solat kepada setiap Mukmin terlihat pada Al-Quran itu sendiri yang menceritakan mengenai solat tidak kurang 100 ayat. Antaranya firman Allah SWT yang maksudnya:
“Benar-benar sangat beruntung orang yang beriman, yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.” (Al-Mukminun: 2)
Sementara Abu Hurairah RA menyebutkan Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah SWT berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Sudah pasti solat fardu yang kita kerjakan tidak pernah sempurna, malah jika kita merasakan solat dikerjakan sempurna, maka ia tanda ketidaksempurnaan dan kemungkinan amalan itu ditolak.
Tidak ada yang sempurna melainkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Justeru, Allah SWT menyediakan mekanisme untuk menutup kekurangan ibadat dengan mendirikan solat sunat.
Solat fardu itu umpama hadiah yang ingin dipersembahkan di hadapan Allah SWT, manakala solat sunat seperti balutan memperindahkan kotak hadiah.
Namun apa yang penting dalam mengerjakan solat sunat ialah keikhlasan kerana kunci kita menjadi Mukmin yang dikasihi Allah SWT.
Bagaimanapun, mengharap sesuatu ganjaran merupakan sifat semula jadi manusia, malah ia akan mendorong kita untuk meningkatkan amalan. Namun, mukmin yang ikhlas, tidak kisah pun mengenai ganjaran atau hadiah kerana apa dilakukan semata-mata kerana Allah dan Nabi Muhammad SAW.
Terdapat banyak jenis solat sunat yang boleh dilakukan dalam tempoh sehari tetapi yang menjadi kebiasaan ialah solat sunat dhuha dan rawatib.
Selain itu, hikmah solat sunat dhuha juga disebabkan masa antara selepas waktu subuh dan zuhur yang panjang hingga Allah SWT menyediakan ruang untuk terus mengingatiNya.
Ia dikenali juga sebagai solat al-Awwabin dan Rasullullah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA jangan meninggalkan solat ini: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan Solat Dhuha dua rakaat dan melakukan Solat Witir sebelum tidur.” (HR Bukhari dan Muslim)
“Solat Sunat Dhuha sangat berkaitan dengan pengertian melapangkan rezeki. Dalam hal ini, ada hadis yang menyebut mengenai kelebihan mengerjakan solat Sunat Dhuha 12 rakaat daripada Anas ibnu Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang Solat Dhuha sebanyak 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga. (HR Ibnu Majah)
Mengerjakan solat sunat dhuha juga bukanlah semata-mata mengharapkan rezeki tetapi kelebihan lain yang mungkin tidak diketahui ada fadilatnya.
Selain itu, barang siapa yang menunaikan Solat Dhuha, dia tergolong dalam mereka yang bertaubat kepada Allah SWT seperti disebutkan dalam hadis: Tidaklah seseorang selalu mengerjakan Solat Dhuha kecuali ia tergolong sebagai orang yang bertaubat. (HR Hakim) – Agensi
.jpg)
Comments
Post a Comment